Thursday 24 January 2013

Catatan penuh: Kenapa Sejarah dua kali sahaja seminggu?



Saya hanya mengajar Sejarah satu kelas sahaja, 2R, kelas tercorot dalam tingkatan 2. Tahun lepas saya mula mengajar kelas ini pada pertengahan tahun. Pada masa itu, sistem PBS baru diperkenalkan. Saya perlu mengulang semula silibus dari awal tahun untuk melengkapkan PBS itu. Pelajar tidak memahami bahasa, masalah disiplin dan tidak meminati sejarah benar-benar memberi tekanan untuk saya laksanakan PBS. Lalu tindakan saya pada waktu itu ialah membawa gula-gula dan sebagainya untuk mendorong pelajar. Siapa melengkapkan evidens akan saya hadiahkan gula-gula. Kesannya, setiap kali waktu sejarah, pelajar akan meminta hadiah untuk melaksanakannya. Ada juga pelajar yang sedar tugasan itu mereka perlu laksanakan tapi ramai yang perlu dipaksa dan tidak kisah dengan ganjaran yang diberi.

Musim cuti sekolah lepas saya gunakan untuk meninjau teknik-teknik psikologi Nabi Muhammad yang telah banyak di aplikasi oleh guru-guru yang baik lagi rajin berusaha meningkatkan ilmu. Saya berazam pada tahun ini untuk mengaplikasi teknik ini.

Saya merancang skrip untuk diucapkan pada hari pertama masuk kelas.

Apabila masuk ke kelas, saya memerhati semua pelajar. Setiap wajah saya pandang. Rata-rata sudah saya kenal. Terdapat beberapa pelajar sahaja yang baru masuk kekelas itu.

“Saya telah kenal kamu semua kecuali dua pelajar yang berada dikelas lain tahun lepas. Boleh kenalkan diri” saya menghampiri mereka.

Mereka menyebut nama. Saya fokus dan terus hafal nama tersebut

“Sekarang saya sudah kenal semua.Lalu saya menyebut nama mereka satu persatu.”

Kelas menjadi lebih tenang dan terkawal. Semua mata tertumpu kepada saya.

“Pada tahun ini sistem PBS akan diteruskan. Sistem ini memberi kuasa pada guru untuk memberi meletakkan pelajar dalam band berapa. Saya akan memberi band yang tinggi untuk pelajar yang saya suka dan saya sayang.”

Palajar-pelajar mula bersuara. Ada yang senyum-senyum kerana tahu cikgu senang dengannya. Ada yang kelihatan gelisah dan masih ramai yang tidak kisah akan prestasi akademik mereka.


“Baiklah, untuk menjadi pelajar yang cikgu suka dan sayang, sangat  senang. Buat apa yang cikgu suruh dan dengar apa yang cikgu cakap.” Saya ulang beberapa kali peraturan ini. Berbeza dengan tahun sebelum ini dimana saya menyenaraikan empat hingga lima peraturan kelas saya yang tidak sampai seminggu diikuti pelajar.

“Cikgu nak berapa buku?” pelajar mula bertanya dan keluarkan buku tulis yang masih baharu.

“Pada tahun ini, kita tak guna buku latihan atau buku nota. Hanya gunakan modul ini.”
Saya tunjukkan modul Sejarah yang telah dibuat oleh sahabat guru, Puan Nurbaizura. Modul ini adalah idea pengetua kami supaya pelajar lebih fokus dan bebanan guru dan pelajar dikurangkan.

“Ya ke cikgu, tak perlu tulis nota” Tanya seorang pelajar sambil tersengih.

“Berapa harga modul tu?” Tanya yang lain

Selepas saya nyatakan harga, separuh daripada pelajar kelas ini mula membayar. Tidak banyak rungutan kerana beban menulis nota mereka dikurangkan. Modul itu sebenarnya adalah nota mereka, mereka hanya perlu membaca buku teks sejarah seterusnya mengambil isi penting untuk melengkapkan modul terbabit.

Pada akhir kelas, saya memuji.

“Bagus pelajar kelas ini. Bersemangat untuk belajar. Cikgu suka masuk kelas ini. Kalau macam ini, kamu semua boleh dapat band yang tinggi dalam sejarah.”

***

Hari ini hari Jumaat, 18 Januari 2013. Tarikh akhir bagi banyak perkara kerana sudah tiga minggu sesi persekolahan 2013 bermula. Saya tiba di sekolah jam 11 pagi walaupun waktu rasmi hari ini bermula jam 1.50. Banyak perkara tertangguh dan saya kalut menyudahkannya. Mujur, hari ini saya hanya mengajar 4 waktu, berbanding 6 waktu pada hari-hari yang lain. Waktu sejarah adalah waktu terakhir, namun  saya masih tidak sempat membuat persediaan yang rapi.

Saya melangkah masuk ke kelas dengan perasaan bercampur baur. Letih. Pelajar juga sudah pasti letih dan tidak mampu untuk fokus lagi, apalagi untuk subjek sejarah.

Ramai pelajar tidak pedulikan saya walaupun berulangkali ketua kelas mereka, Logaraj menjerit untuk bangun mengucap salam.

Saya mengawal marah, tidak mahu membesarkan kesalahan, lantas memuji pelajar yang berdiri.

“ Cikgu kagum dengan pelajar yang berdiri semasa cikgu masuk, pelajar begini menghormati guru dan akan cepat pandai.”

Pelajar yang tidak endahkan saya mula berdiri.

Selepas mengucap salam. Beberapa pelajar mula menarik meja, mereka menyusun meja sebaris. Susun atur perabot mula kucar kacir. Saya terus bersabar.

“Baiklah, duduk.”

Pelajar duduk. Salah seorang dari mereka mengambil kerusi dan meletakkan dihadapan meja. Kaki diangkat keatas kerusi tersebut, kaki menjulur ke hadapan kelas.

Saya ingin marah, namun saya tahan, azam saya terus dikuatkan.

Melihat saya diam, ramai pelajar yang ikut. Mereka melakukan dalam keadaan senyap tapi dengan muka yang kelihatan ingin mengenakan saya. Sebaris pelajar dalam 7 orang meletakkan kerusi dihadapan meja dan mengangkat kaki mereka. Memang kelihatan biadap.

“Baiklah, kamu semua boleh duduk begitu, tapi senyap dan dengar apa yang saya ajar hari ini. Setuju?”

Mereka mengangguk-angguk.

Saya mulakan pengajaran.

Tiba-tiba kaunselor melewati kelas mereka, serta merta kaki diturunkan. Mereka sedar kelakuan itu tidak baik. Saya terus berfikiran positif.

“Kalau kamu duduk macam tu, susah kamu. Nanti kalau Penyelia Petang  lalu, dia tengok macam mana?. Ok, siapa nak jaga dekat pintu supaya boleh bagitahu kamu cepat-cepat jika ada cikgu lain lalu?” saya bertanya.

Nampak wajah terkejut mereka dengan saranan saya. Seorang pelajar berpindah tempat, dekat dengan pintu untuk melihat kalau-kalau ada guru lain yang lalu. Kelas masih terkawal.

Saya teruskan pengajaran. Pada mulanya saya menulis jawapan dan disalin oleh mereka sehingga ada pelajar yang kata “ Cikgu, saya boleh buat sendirilah, saya baca disini”.

“Waah…bagus, cikgu suka pelajar ni, dia boleh baca dan lengkapkan sendiri jawapan, kalau macam ni, kamu boleh cepat pandai” saya memuji.

Saya pun boleh..saya juga. Akhirnya semua pelajar membaca sendiri buku sehingga tidak menang tangan saya apabila dipanggil pelajar untuk menunjukkan hasil kerja mereka. Pada setiap pelajar yang saya lihat, saya terus memuji, bagus, pandai, cerdik, rajin, dan macam inilah yang cikgu mahukan. Sengaja saya menguatkan suara apabila mengungkap kata-kata positif tersebut.

Pasti dalam ramai-ramai pelajar masih ada yang tidak menghiraukan aktiviti hari ini. Seorang pelajar saya dapati sedang menconteng tangannya sendiri dengan perkataan tiger. Buku diatas meja tidak diendahkan.

“ Nama kamukah tiger tu?” saya bertanya lembut kepada Jun Hong.

Dia mengangguk-angguk sambil tersenyum.

“Kamu suka saya panggil kamu tiger?” saya terus bertanya.

Dia mengangguk lagi.

“Ok, Tiger, cuba kamu tengok ni. Jawapan ni ada disini. Kamu baca dan tulis disini. Cikgu pasti kamu boleh buat.”

Saya tinggalkan dia yang mula menekuni buku teks dan melengkapkan modul.

“Cikgu suka keadaan macam ni. Semua buat kerja dengan penuh semangat.”

Saya melontarkan pujian untuk seluruh kelas. Namun, masih ada yang melengah-lengahkan kerja.

“Baiklah. Siapa yang siap dulu saya akan bagi coklat.” Saya membuat tawaran sambil mengelilingi kelas.

“Cikgu, saya dah siap.” Jerit seorang pelajar.

Saya menghampiri pelajar tersebut.

“Bagus. Pelajar yang rajin pasti cepat pandai” saya berikan  sebiji  coklat koko jeli kepadanya. Dia senyum gembira.

“Cikgu, saya.” Panggil yang lain

“Cikgu, saya.” Panggil yang lain pula. Saya mengelilingi kelas mengagih coklat pada yang sudah siap.

Barisan yang menjulurkan kaki tadi semakin tekun. Sebahagian sudah mendapat coklat. Ada yang sudah menurunkan kaki kebawah tanpa mereka sedari. Tapi, coklat saya tidak cukup untuk semua pelajar.

Saya mengambil cop yang ada bintang dan perkataan ‘sangat baik.’

“Baiklah,  saya akan tandatangan modul pelajar yang siap” saya menghampiri pelajar yang sudah siap dan saya cop perkataan sangat baik kepada yang berjaya melengkapkan modul dengan tepat.
“Cikgu, kenapa sejarah ada dua kali sahaja seminggu?” Tanya Hariharan setelah modulnya saya cop sangat baik.

“Kamu suka belajar sejarah?” saya bertanya.

Hariharan, Logaraj dan Vijay menganguk-angguk.

“Kalau kamu semua suka, setiap hari boleh baca buku sejarah. Apabila sudah baca, cikgu datang dan terangkan. Kamu akan cepat faham.”

Jam sudah 6.30 petang. Kebanyakan pelajar sudah menyiapkan tugasan. Tetapi, Chung Whai Yao yang meminta izin ke tandas belum pulang dan tugasannya yang belum disudahkan.

Pelajar-pelajar sudah mula berdiri, menyusun semula meja seperti dalam keadaan asal dan membersihkan kelas.

“Waah.. bagus pelajar kelas ini. Cikgu tak suruh pun, kamu bersihkan kelas. Kalau macam ni, kelas ni boleh menang pertandingan kebersihan kelas nanti.”

Pelajar-pelajar bersorak.

“Cikgu, saya yang suruh mereka bersihkan kelas.” Logaraj bersuara.

“Oh, bagus. Logaraj ketua kelas yang bagus. Pastikan kelas bersih sebelum balik.”

“Baiklah pelajar, Hari ini semua pelajar bagus. Berjaya siapkan kerja dengan baik. Saya suka pelajar macam ini dan saya pasti kamu boleh dapat band yang tinggi dalam PBS. Tepukan untuk diri kamu sendiri.”

Semua pelajar bertepuk tangan dan bersorak. Tiba-tiba Whai Yao masuk sambil membebel-bebel dalam bahasa cina, terdengar nama seorang guru disebut-sebut. Saya agak cikgu itu menyuruhnya membuat sesuatu semasa dia keluar dari kelas tadi.

Ketika pelajar mula meninggalkan kelas, saya hampiri Whai Yao.

“Whai Yao, kamu belum dapat cop sangat baik ini. Semua orang sudah dapat. Boleh kamu siapkan modul ni dan saya akan cop”

“yaalah…kamu belum siap, tengok ni.” Seorang rakan menunjukkan modul yang saya cop.

Whai Yao mengangguk-angguk sambil mengemas buku-bukunya.

Kelas hari ini berakhir. Saya melangkah turun dengan satu kepuasan yang tidak terucap. Terngiang-ngiang pesanan Pengetua, Puan Tan Loo Kee suatu ketika
“Waktu PnP ibarat sebuah peperangan, cikgu harus menang. Cikgu perlu menggunakan apa sahaja strategi untuk menakluki pelajar supaya pengajaran lebih mudah disampaikan.”

Alhamdulillah. Saya rasa bahagia. Letih sebelum masuk kelas hilang dan bertukar menjadi semangat. Tidak sabar-sabar ke sekolah esok untuk gotong royong perdana. Selepas ini, saya akan singgah di kedai untuk membeli peralatan untuk keceriaan kelas walaupun matahari sudah mengundur diri.










5 comments:

  1. Tahniah! Saya suka. CIkgu sudah berusaha untuk menggunakan Teknik Memuji Nabi Muhammad untuk mendorong pelajar-pelajar cikgu. Saya juga tumpang gembira mengetahui impak positif hasil aplikasi teknik nabi.
    Sekadar perkongsian semula, pujian mengikut teknik Nabi Muhammad, puji kebaikan/perbuatan atau hasil kerja (bukan orangnya) dan nyatakan impak.
    Adalah lebih mudah pembaca blog puan mengenal pasti skrip kata-kata pujian tersebut.
    "Kamu berjaya siapkan kerja dengan baik.(pujian) Saya suka pelajar macam ini dan saya pasti kamu boleh dapat band yang tinggi dalam PBS.(Impak) Tepukan untuk diri kamu sendiri.

    Ganjaran yang cikgu berikan berbentuk ganjaran sosial (pujian dan kata-kata positif - bagus) ,Cikgu juga berikan pujian ikut teknik nabi dan ada pujian tidak ikut teknik nabi.
    Contoh puji kepada orang : Logaraj ketua kelas yang bagus .Pujian kepada orang boleh membawa dua kesan sama ada positif atau negatif. Nabi Muhammad tidak memuji orang)

    Cikgu juga memebrikan ganjaran material.(coklat). Nabi Muhammad juga memberikan ganjaran material. Ganjaran material hanya diberikan apabila sesuatu kerja telah dilakukan (tanpa lebih awal bahawa ganjaran material akan diberi) Dalam erti kata lain,
    Nabi Muhammad tidak menjanjikan ganjaran material.

    ReplyDelete
  2. tahniah tini, saya yakin, dengan keihlasan dirimu melaksanakan teknik nabi muhammad, pasti kamu akan bahagia dan tenang di dunia dan akhirat

    ReplyDelete
  3. kami suka usaha yang dikongsikan tini. kami yakin kita akan sama-sama belajar daripada kesilapan diri dan kesilapan orang lain. kami setuju dengan respon yang diberikan cikgu kami, Puan Khairulaniza. Cuma satu lagi yang kami belajar daripada beliau tentang teknik nabi, rasulullah tidak memilih yang terbaik untuk diberikan ganjaran. Jika kita mahu berikan ganjaran, pastikan kita memberikan kepada semua. Kami pernah berpengalaman memberikan coklat, gula-gula dan jeli masa tahun pertama dan tahun kedua mengajar. Ia tidak meninggalkan kesan yang panjang sehingga dapat mendorong perubahan tingkah laku. Heehe. Kami kagum kesungguhan tini sejak dari smkbs lagi, kami yakin tini akan berhasil mendapat apa yang tini cita-citakan =))

    ReplyDelete
  4. Ma shaa Allah. Kelas yang penuh dengan pujian dan galakan, aura positif tersebar ke serata alam.

    Teruskan Tini, akak baru nak mula .. :)

    ReplyDelete
  5. terima kasih cikgu Khairulaniza yang banyak memberi tunjuk ajar. Sesungguhnya saya masih banyak perlu belajar. Blog cikgu menjadi sebahagian rujukan saya.
    kak Marya yang memberi inspirasi, saya pun baru bermula.
    abdullah, cikgu smktta, kita sama2 berusaha....

    ReplyDelete