Thursday 7 March 2013

DILEMA GURU DI SEKOLAH COROT



Hati saya berbunga-bunga melihat catatan dalam blog saya di kongsi bersama Puan Norhidayah dan Dr.Aida Suzila, disukai pula ramai peminat mereka, malah turut diulas teman seperjuangan. Self-esteem saya terasa berkembang memekarkan lagi semangat juang dalam gelanggang pendidikan.
Namun, disebalik itu ada terdetik rasa malu pada diri sendiri, lantaran yang menyukai itu hanyalah teman di alam maya, sedang di laman sebenar semua itu seolah tiada apa, tidak terkesan dan biasa-biasa sahaja. Saya malu kerana saya hanyalah guru biasa yang sangat ‘kecil’ dimedan nyata.
Seawal penempatan saya sebagai guru, saya ditugaskan mengajar bahasa sungguhpun opsyen pengajian sebenar saya adalah biologi dan matematik. Kerana elaun BISP, saya diberi juga matapelajaran sains, itupun sekadar melayakkan saya menerima elaun itu. Saya terima dengan redha walaupun tiga bidang berbeza perlu saya kuasai saban hari.
Saya sering mendapat kelas yang corot untuk mengajar bahasa. Kelas yang dihuni oleh semua bukan melayu dan gagal Bahasa Melayu dalam UPSR. Sungguh saya terkejut pada mulanya, perkataan pun mereka tidak tahu, bagaimana untuk membentuk ayat. Motivasi belajar sangat rendah.
Saya belum tahu teknik nabi, malah mendengarnya pun tidak sekali.  Namun naluri saya ingin pelajar itu tahu kejadian mereka bukan sia-sia.
Saya ciptakan permainan bahasa agar PnP lebih menarik. Pelajar bersorak girang apabila menang dalam kumpulan. Saya dipanggil pentadbir lantaran kelas tiada kawalan.
Saya mudahkan latihan agar pelajar  terdorong membuat tugasan. Saya dikritik guru lain kerana latihan tidak berformat peperiksaan. Prestasi saya terkesan kerana buku latihan pelajar tidak banyak karangan. Bila saya nyatakan pelajar belum mengenal perkataan, itu hanya sekadar alas an kerana yang dinilai adalah apa yang tercatat pada tulisan. Tidak kira bagaimanapun pengajaran, yang penting dokumentasi cantik terbentang.
 Lebih malang, kami pengajar kelas corot menjadi punca apabila keputusan peperiksaan sebenar tidak memuaskan. Kami dikatakan cuai menjalankan tugas, dibanding-banding dengan sekolah prestasi tinggi yang muridnya menyusun A dalam transkrip keputusan.
Saya tidak menyalahkan pengetua apabila balik menghamburkan rasa tidak puas hati pasca keputusan peperiksaan. Saya mafhum, beliau juga terasa malu membawa nama sekolah tercorot dalam senarai, apalagi jika teman seperjuangan menerima anugerah lantaran ‘nasib baik’ mendapat sekolah kawalan.  Usai guru di sindir, dikritik, dimarah dalam mesyuarat, guru-guru pula akan menyebar aura negatif kepada pelajar, lalu seluruh sekolah dalam wabak yang serupa. Murid jadi bingung, lalu sekolah bukan lagi tempat yang seronok, maka poteng jadi pilihan. Timbul lagi masalah disiplin.
Apabila ponteng mula berpanjangan, guru-guru diingatkan waspada dengan surat amaran. Singkirkan sahaja mereka yang bermasalah, lalu hilanglah seorang demi seorang dari sekolah.  Saya tidak tahu cerita pelajar selepas dibuang sekolah…bagaimanakah rutin harian remaja yang sepatutnya dibimbing dibiar terus terumbang-ambing?
Saya akur kelemahan diri, lalu saya selidiki bagaimana kelas yang memuaskan hati. Pada guru-guru berkenaan saya dekati. Tipsnya mudah, harus menjadi sangat garang untuk dihormati. Pelajar tidak perlu diberi ruang untuk menyuarakan pendapat, malah mengangkat muka pun menjadi suatu kesalahan. Herdik, marah, rotan, maki, malukan depan perhimpunan, dan panggil ibubapa lalu ceritakan segala kelakuan anak depan ibubapa. Jika ada ibubapa yang melatah marah terus anak didepan guru, maka ibubapa itu diktiraf. Sebaliknya, jika ada ibubapa atau penjaga cuba menyelamatkan maruah anak mereka, dikata ibubapa manjakan anak, itulah punca kelakuan mereka.
Oleh sebab ini yang dikatakan berkesan, maka saya pun aplikasi. Saya pun menjadi sangat garang, masuk ke kelas tanpa secalit senyuman. Serius dan merangka pelbagai peraturan. Sudahnya, dada saya kesesakkan, saya semakin tertekan. Menghukum memang bukan jiwa saya. Malah, saya tidak bisa lena tidur apabila marah pada pelajar. Rasa bersalah menghantui diri sehinggapelajar itu kembali saya dekati. Namun, bukan semua emosi yang tercalar mampu saya ubati, pasti ada dalam kalangan mereka yang tersimpan dendam dihati.  Rasa bersalah itu menyebabkan saya bertukar watak, menjadi seorang pemujuk, lalu saya kelihatan tiada prinsip, sekejap marah, sekejap baik. Apabila begini, saya menjadi tempat pelajar mengadu, merayu untuk diajar pelajaran yang diajar guru yang lagi garang, lantaran rasa takut apabila kerja tidak disiapkan. Pelajar mengambil kesempatan waktu saya untuk bersenang-senang dan bersantai kerana penat fokus dan diam semasa guru garang mengajar.
Segala puji bagi Allah, saya ditemukan dengan insan-insan yang mendepani masalah serupa tapi meyelesaikan dengan teknik luar biasa. Teknik berinspirasi  dari  insan paling agung dalam sejarah manusia, yang mengubah kegelapan ke dalam cahaya. Selawat dan salam ke atas baginda Rasul yang mulia.
Saya tidak pasti siapa yang  ‘menjemput’ saya ke kumpulan alumni mendorong pelajar corot itu. Hanya doa saya kirim untuk pemilik jari yang meng’klik’ nama saya untuk mendapat ilmu ini.  Saya aplikasi sedikit demi sedikit apabila menbaca blog-blog guru perintis dan  turut menghadiri kursusnya. Alhamdulillah, teknik ini semakin serasi dengan hati.
Saya sebenarnya terlalu ingin berkongsi dengan seluruh warga sekolah yang saban hari mendepani pelajar-pelajar kesayangan saya. Saya percaya, pujian satu waktu saya tidak cukup menaikkan self esteem pelajar andai sepanjang  hari di marah, dimaki, disindir dan diperli. Namun saya tetap akan terus berusaha walaupun ibarat menyusun kerikil untuk dibuat bangunan. Sungguhpun binaan bangunan lambat tersergam, nanti pasti ada insan yang sudi membantu, mengutip kerikil yang serupa untuk dibuat binaan. Saya percaya, suatu hari akan ada pemilik jawatan yang sedar sesuatu yang benar sedang ditegakkan.

Monday 4 March 2013

Laporan Guru Bertugas....suatu perubahan


Skrip saya untuk laporan guru bertugas mingguan semasa perhimpunan.

Isu: pelajar datang lambat, tidak bawa buku pelajaran, tidak menyiapkan kerja rumah, kebersihan kawasan sekolah dan tidak memberi tumpuan dalam kelas.

Saya menggunakan teknik menyoal akhlak (hadis rujukan Abu bakar masuk Syurga)
"Siapa yang datang sebelum pukul 12.30 tghr"
"Siapa yang bawa semua buku-buku untuk pelajaran hari ini?"
"Siapa yang sudah menyiapkan semua kerja rumah yang cikgu bagi minggu lepas"
Saya memuji pelajar-pelajar yang angkat tangan.
"Sesungguhnya pelajar yang datang awal kesekolah, membawa buku-buku pelajaran dan menyiapkan kerja rumah adalah pelajar yang bertanggungjawab. Pelajar yang bertanggungjawab pasti akan berjaya pada masa sekarang dan akan datang."
Seterusnya saya gunakan teknik menerangkan peraturan.

(Rujukan: Hadis Baju nipis Asma’)
"Pelajar-pelajar,  sesungguhnya semua orang di sekolah ini tidak dibenarkan membuang sampah dikawasan sekolah kecuali ke dalam tong sampah."

(Rujukan: hadis Orang Badwi kencing dalam masjid)
"Wahai pelajar, didalam kelas adalah tempat belajar. Pelajar mesti memberi tumpuan dalam kelas, tidak boleh membuat bising melainkan guru mengadakan aktiviti yang membuat kamu berbincang."

Saya akhiri laporan dengan pujian kepada pasukan bola sepak yang mewakili sekolah pada minggu lepas, saya tetap mencari kelebihan mereka walaupun mereka tewas pada pusingan suku akhir.

“Cikgu mengucapkan tahniah kepada pasukan bola sepak sekolah yang berjaya menumpaskan SMK  Taman Maluri,  SMK  Sains Selangor, Sekolah Sri Sempurna dan SMK Dato’ Onn. Saya percaya dengan latihan yang lebih giat, disiplin yang tinggi dan semangat yang membara, kamu boleh mewakili Malaysia ke Piala Dunia suatu hari nanti.”
Tidak sangka, soalan-soalan akhlak saya itu mendapat ulasan Penyelia Petang yang menyampaikan ucapan selepas itu.

(Saya sedang berusaha mengubah amalan lazim laporan  guru bertugas yang melaporkan amalan negatif pelajar yang sama setiap minggu)

Thursday 24 January 2013

Catatan penuh: Kenapa Sejarah dua kali sahaja seminggu?



Saya hanya mengajar Sejarah satu kelas sahaja, 2R, kelas tercorot dalam tingkatan 2. Tahun lepas saya mula mengajar kelas ini pada pertengahan tahun. Pada masa itu, sistem PBS baru diperkenalkan. Saya perlu mengulang semula silibus dari awal tahun untuk melengkapkan PBS itu. Pelajar tidak memahami bahasa, masalah disiplin dan tidak meminati sejarah benar-benar memberi tekanan untuk saya laksanakan PBS. Lalu tindakan saya pada waktu itu ialah membawa gula-gula dan sebagainya untuk mendorong pelajar. Siapa melengkapkan evidens akan saya hadiahkan gula-gula. Kesannya, setiap kali waktu sejarah, pelajar akan meminta hadiah untuk melaksanakannya. Ada juga pelajar yang sedar tugasan itu mereka perlu laksanakan tapi ramai yang perlu dipaksa dan tidak kisah dengan ganjaran yang diberi.

Musim cuti sekolah lepas saya gunakan untuk meninjau teknik-teknik psikologi Nabi Muhammad yang telah banyak di aplikasi oleh guru-guru yang baik lagi rajin berusaha meningkatkan ilmu. Saya berazam pada tahun ini untuk mengaplikasi teknik ini.

Saya merancang skrip untuk diucapkan pada hari pertama masuk kelas.

Apabila masuk ke kelas, saya memerhati semua pelajar. Setiap wajah saya pandang. Rata-rata sudah saya kenal. Terdapat beberapa pelajar sahaja yang baru masuk kekelas itu.

“Saya telah kenal kamu semua kecuali dua pelajar yang berada dikelas lain tahun lepas. Boleh kenalkan diri” saya menghampiri mereka.

Mereka menyebut nama. Saya fokus dan terus hafal nama tersebut

“Sekarang saya sudah kenal semua.Lalu saya menyebut nama mereka satu persatu.”

Kelas menjadi lebih tenang dan terkawal. Semua mata tertumpu kepada saya.

“Pada tahun ini sistem PBS akan diteruskan. Sistem ini memberi kuasa pada guru untuk memberi meletakkan pelajar dalam band berapa. Saya akan memberi band yang tinggi untuk pelajar yang saya suka dan saya sayang.”

Palajar-pelajar mula bersuara. Ada yang senyum-senyum kerana tahu cikgu senang dengannya. Ada yang kelihatan gelisah dan masih ramai yang tidak kisah akan prestasi akademik mereka.


“Baiklah, untuk menjadi pelajar yang cikgu suka dan sayang, sangat  senang. Buat apa yang cikgu suruh dan dengar apa yang cikgu cakap.” Saya ulang beberapa kali peraturan ini. Berbeza dengan tahun sebelum ini dimana saya menyenaraikan empat hingga lima peraturan kelas saya yang tidak sampai seminggu diikuti pelajar.

“Cikgu nak berapa buku?” pelajar mula bertanya dan keluarkan buku tulis yang masih baharu.

“Pada tahun ini, kita tak guna buku latihan atau buku nota. Hanya gunakan modul ini.”
Saya tunjukkan modul Sejarah yang telah dibuat oleh sahabat guru, Puan Nurbaizura. Modul ini adalah idea pengetua kami supaya pelajar lebih fokus dan bebanan guru dan pelajar dikurangkan.

“Ya ke cikgu, tak perlu tulis nota” Tanya seorang pelajar sambil tersengih.

“Berapa harga modul tu?” Tanya yang lain

Selepas saya nyatakan harga, separuh daripada pelajar kelas ini mula membayar. Tidak banyak rungutan kerana beban menulis nota mereka dikurangkan. Modul itu sebenarnya adalah nota mereka, mereka hanya perlu membaca buku teks sejarah seterusnya mengambil isi penting untuk melengkapkan modul terbabit.

Pada akhir kelas, saya memuji.

“Bagus pelajar kelas ini. Bersemangat untuk belajar. Cikgu suka masuk kelas ini. Kalau macam ini, kamu semua boleh dapat band yang tinggi dalam sejarah.”

***

Hari ini hari Jumaat, 18 Januari 2013. Tarikh akhir bagi banyak perkara kerana sudah tiga minggu sesi persekolahan 2013 bermula. Saya tiba di sekolah jam 11 pagi walaupun waktu rasmi hari ini bermula jam 1.50. Banyak perkara tertangguh dan saya kalut menyudahkannya. Mujur, hari ini saya hanya mengajar 4 waktu, berbanding 6 waktu pada hari-hari yang lain. Waktu sejarah adalah waktu terakhir, namun  saya masih tidak sempat membuat persediaan yang rapi.

Saya melangkah masuk ke kelas dengan perasaan bercampur baur. Letih. Pelajar juga sudah pasti letih dan tidak mampu untuk fokus lagi, apalagi untuk subjek sejarah.

Ramai pelajar tidak pedulikan saya walaupun berulangkali ketua kelas mereka, Logaraj menjerit untuk bangun mengucap salam.

Saya mengawal marah, tidak mahu membesarkan kesalahan, lantas memuji pelajar yang berdiri.

“ Cikgu kagum dengan pelajar yang berdiri semasa cikgu masuk, pelajar begini menghormati guru dan akan cepat pandai.”

Pelajar yang tidak endahkan saya mula berdiri.

Selepas mengucap salam. Beberapa pelajar mula menarik meja, mereka menyusun meja sebaris. Susun atur perabot mula kucar kacir. Saya terus bersabar.

“Baiklah, duduk.”

Pelajar duduk. Salah seorang dari mereka mengambil kerusi dan meletakkan dihadapan meja. Kaki diangkat keatas kerusi tersebut, kaki menjulur ke hadapan kelas.

Saya ingin marah, namun saya tahan, azam saya terus dikuatkan.

Melihat saya diam, ramai pelajar yang ikut. Mereka melakukan dalam keadaan senyap tapi dengan muka yang kelihatan ingin mengenakan saya. Sebaris pelajar dalam 7 orang meletakkan kerusi dihadapan meja dan mengangkat kaki mereka. Memang kelihatan biadap.

“Baiklah, kamu semua boleh duduk begitu, tapi senyap dan dengar apa yang saya ajar hari ini. Setuju?”

Mereka mengangguk-angguk.

Saya mulakan pengajaran.

Tiba-tiba kaunselor melewati kelas mereka, serta merta kaki diturunkan. Mereka sedar kelakuan itu tidak baik. Saya terus berfikiran positif.

“Kalau kamu duduk macam tu, susah kamu. Nanti kalau Penyelia Petang  lalu, dia tengok macam mana?. Ok, siapa nak jaga dekat pintu supaya boleh bagitahu kamu cepat-cepat jika ada cikgu lain lalu?” saya bertanya.

Nampak wajah terkejut mereka dengan saranan saya. Seorang pelajar berpindah tempat, dekat dengan pintu untuk melihat kalau-kalau ada guru lain yang lalu. Kelas masih terkawal.

Saya teruskan pengajaran. Pada mulanya saya menulis jawapan dan disalin oleh mereka sehingga ada pelajar yang kata “ Cikgu, saya boleh buat sendirilah, saya baca disini”.

“Waah…bagus, cikgu suka pelajar ni, dia boleh baca dan lengkapkan sendiri jawapan, kalau macam ni, kamu boleh cepat pandai” saya memuji.

Saya pun boleh..saya juga. Akhirnya semua pelajar membaca sendiri buku sehingga tidak menang tangan saya apabila dipanggil pelajar untuk menunjukkan hasil kerja mereka. Pada setiap pelajar yang saya lihat, saya terus memuji, bagus, pandai, cerdik, rajin, dan macam inilah yang cikgu mahukan. Sengaja saya menguatkan suara apabila mengungkap kata-kata positif tersebut.

Pasti dalam ramai-ramai pelajar masih ada yang tidak menghiraukan aktiviti hari ini. Seorang pelajar saya dapati sedang menconteng tangannya sendiri dengan perkataan tiger. Buku diatas meja tidak diendahkan.

“ Nama kamukah tiger tu?” saya bertanya lembut kepada Jun Hong.

Dia mengangguk-angguk sambil tersenyum.

“Kamu suka saya panggil kamu tiger?” saya terus bertanya.

Dia mengangguk lagi.

“Ok, Tiger, cuba kamu tengok ni. Jawapan ni ada disini. Kamu baca dan tulis disini. Cikgu pasti kamu boleh buat.”

Saya tinggalkan dia yang mula menekuni buku teks dan melengkapkan modul.

“Cikgu suka keadaan macam ni. Semua buat kerja dengan penuh semangat.”

Saya melontarkan pujian untuk seluruh kelas. Namun, masih ada yang melengah-lengahkan kerja.

“Baiklah. Siapa yang siap dulu saya akan bagi coklat.” Saya membuat tawaran sambil mengelilingi kelas.

“Cikgu, saya dah siap.” Jerit seorang pelajar.

Saya menghampiri pelajar tersebut.

“Bagus. Pelajar yang rajin pasti cepat pandai” saya berikan  sebiji  coklat koko jeli kepadanya. Dia senyum gembira.

“Cikgu, saya.” Panggil yang lain

“Cikgu, saya.” Panggil yang lain pula. Saya mengelilingi kelas mengagih coklat pada yang sudah siap.

Barisan yang menjulurkan kaki tadi semakin tekun. Sebahagian sudah mendapat coklat. Ada yang sudah menurunkan kaki kebawah tanpa mereka sedari. Tapi, coklat saya tidak cukup untuk semua pelajar.

Saya mengambil cop yang ada bintang dan perkataan ‘sangat baik.’

“Baiklah,  saya akan tandatangan modul pelajar yang siap” saya menghampiri pelajar yang sudah siap dan saya cop perkataan sangat baik kepada yang berjaya melengkapkan modul dengan tepat.
“Cikgu, kenapa sejarah ada dua kali sahaja seminggu?” Tanya Hariharan setelah modulnya saya cop sangat baik.

“Kamu suka belajar sejarah?” saya bertanya.

Hariharan, Logaraj dan Vijay menganguk-angguk.

“Kalau kamu semua suka, setiap hari boleh baca buku sejarah. Apabila sudah baca, cikgu datang dan terangkan. Kamu akan cepat faham.”

Jam sudah 6.30 petang. Kebanyakan pelajar sudah menyiapkan tugasan. Tetapi, Chung Whai Yao yang meminta izin ke tandas belum pulang dan tugasannya yang belum disudahkan.

Pelajar-pelajar sudah mula berdiri, menyusun semula meja seperti dalam keadaan asal dan membersihkan kelas.

“Waah.. bagus pelajar kelas ini. Cikgu tak suruh pun, kamu bersihkan kelas. Kalau macam ni, kelas ni boleh menang pertandingan kebersihan kelas nanti.”

Pelajar-pelajar bersorak.

“Cikgu, saya yang suruh mereka bersihkan kelas.” Logaraj bersuara.

“Oh, bagus. Logaraj ketua kelas yang bagus. Pastikan kelas bersih sebelum balik.”

“Baiklah pelajar, Hari ini semua pelajar bagus. Berjaya siapkan kerja dengan baik. Saya suka pelajar macam ini dan saya pasti kamu boleh dapat band yang tinggi dalam PBS. Tepukan untuk diri kamu sendiri.”

Semua pelajar bertepuk tangan dan bersorak. Tiba-tiba Whai Yao masuk sambil membebel-bebel dalam bahasa cina, terdengar nama seorang guru disebut-sebut. Saya agak cikgu itu menyuruhnya membuat sesuatu semasa dia keluar dari kelas tadi.

Ketika pelajar mula meninggalkan kelas, saya hampiri Whai Yao.

“Whai Yao, kamu belum dapat cop sangat baik ini. Semua orang sudah dapat. Boleh kamu siapkan modul ni dan saya akan cop”

“yaalah…kamu belum siap, tengok ni.” Seorang rakan menunjukkan modul yang saya cop.

Whai Yao mengangguk-angguk sambil mengemas buku-bukunya.

Kelas hari ini berakhir. Saya melangkah turun dengan satu kepuasan yang tidak terucap. Terngiang-ngiang pesanan Pengetua, Puan Tan Loo Kee suatu ketika
“Waktu PnP ibarat sebuah peperangan, cikgu harus menang. Cikgu perlu menggunakan apa sahaja strategi untuk menakluki pelajar supaya pengajaran lebih mudah disampaikan.”

Alhamdulillah. Saya rasa bahagia. Letih sebelum masuk kelas hilang dan bertukar menjadi semangat. Tidak sabar-sabar ke sekolah esok untuk gotong royong perdana. Selepas ini, saya akan singgah di kedai untuk membeli peralatan untuk keceriaan kelas walaupun matahari sudah mengundur diri.










Saturday 13 October 2012

Biarlah....

Terasa?

Saya bertanya pada diri sendiri di Majlis Graduasi Pelajar Tingkatan 5 hari ini.

Mungkin... tetapi saya tidak mahu melayan, saya memujuk diri...
 Tuhan sedang berbicara denganmu makna ikhlas. 
Minda mengimbau kenangan lima tahun lalu, tahun pertama rasmi menjadi guru, segalanya baru. Saya perlu pantas belajar kerana di alam kerjaya serba mencabar, tidak tahu bukan alasan untuk tidak buat kerana kita hanya boleh dimaafkan untuk kesalahan pertama.
Saya masih ingat, semasa melapor diri dibilik pengetua, saya diberitahu esoknya hari sabtu ada majlis graduasi sekolah, dan saya  wajib hadir kerana sudah menjadi sebahagian kakitangan sekolah. saya akur walaupun terkial-kial dengan segala suasana yang baru.
Bermula hari itu, saya tidak pernah ketinggalan mengikuti Hari Graduasi. Tentu, saya hanya sekadar AJK kecil-kecilan, dan saya sekadar pemerhati suasana itu kerana saya sedar siapa saya dalam kehidupan mereka.
2008 saya mengajar semua, lima kelas tingkatan 1, dan menjadi guru kelas salah satu daripadanya.
2009 saya mengajar semua tingkatan 2, juga guru kelas salah satunya.
Dua tahun saya bersama mereka...hampir semua nama dalam ingatan. Kumpulan pertama pelajar saya....
2010-2012, saya bagai di sekolah baru, sebahagian mereka sudah tidak mengenali saya.
Hari ini...saya bagai tidak pernah wujud di sini.....
Saya tidak meminta diambil gambar, apalagi dicium tangan...cukuplah sekadar sapaan...
Ya..pelajaran tingkatan satu tidak ada dalam SPM....
Walaupun tiada seorang pun yang datang berkata
"cikgu, doakan saya"   saya tetap akan berdoa
SEMOGA KALIAN BERJAYA.....MENJADI MANUSIA


Saya audit diri....akur kelemahan, sentuhan masih belum menyengat, kasih belum tersemat, sepatah kata mungkin tidak diingat, apalagi secebis nasihat...
Maafkan cikgu andai pernah menyakiti....semoga menjadi dikemudian hari.


Kahwin muda



Mendepani remaja menemukan saya dengan pelbagai cerita. Remaja: fasa transisi kehidupan manusia dari alam ria kanak-kanak ke  alam raeliti kehidupan dewasa.
Maka, remaja wajib ada satu sikap percaya pada pengalaman orang dewasa di sekeliling mereka supaya masa mereka tidak tersia-sia untuk melakukan kesilapan.

Salah satu dilema remaja yang perlu saya depani adalah cinta. Entah mengapa, saya cukup alahan dengan masalah ini. Mungkin saya tiada pengalaman bercinta dengan sesiapa pada usia remaja, namun, peristiwa sekeliling banyak mengajar saya bahawa cinta remaja tidak lebih dari buaian perasaan yang mengkhayalkan. Ia bukan sekadar menghilangkan tumpuan remaja untuk fokus pada pelajaran, malah semakin menyusahkan bila isu-isu lari dari rumah, mengandung luar nikah dan buang bayi.

Apabila isu-isu sosial remaja ini dibincangkan, maka timbul pelbagai usul dari bermacam pihak untuk mencari solusinya. Salah satu saranannya ialah nikah. Nikahkan remaja yang hangat bercinta agar tidak timbul kes-kes lain yang lebih mengharukan. Benar, saya akur dengan fitrah ciptaan Tuhan, bahawa nikah adalah penyelesaian kepada hubungan lelaki dan perempuan. Namun, nikah bagi remaja hingusan yang masih dibuai perasaan, makan masih dalam tanggungan, tidur masih perlu dikejutkan, tinggal masih menumpang dan ekonomi masih dalam tajaan hanyalah menyelesaikan masalah jangka pendek, tetepi membina masalah jangka panjang.

Andai ada perbahasan yang menjadikan isu kahwin muda  sebagai tajuknya, saya sedia menjadi pembangkang walaupun bersendirian kerana saya cukup yakin dengan hujah-hujah yang akan saya usulkan.

Bagi saya, mana-mana anak muda yang memilih untuk kahwin sebelum selesai tanggungjawab belajar adalah benar-benar manusia mementingkan perasaan sendiri. Saya ulang perasaan sendiri.
Mengapa saya kata begini?
Manusia yang memilih untuk bernikah dengan pilihannya itu tentu sekali lupa diri, siapa mereka sebelum berada dalam tubuh dewasa itu. Sekalipun sudah menjejak kaki ke alam universiti, mereka masih belum membalas budi. Ya, ada ibubapa tidak mengharap sebarang jasa dibalas, kerana pemberian ibubapa semestinya ikhlas.
 Sebagai anak, alangkah sampainya hati jika manusia yang berkhidmat berbelas tahun untuk mereka dipandang sepi, malah dicari orang lain untuk ditabur bakti.
Belum sempat ibu merasa duit gaji pertama, duit PTPTN sudah ditabur melayan cinta.
Belum di rai hari konvokesyen menggenggam ijazah, sudah dikerah ahli keluarga bantu menikah.
Fikirlah sejenak duhai anak muda….siapa anda dulu.
Pada hari anda dilahirkan, siapa yang menghidupkan anda dengan segala cabaran?
Siapa yang merencana biaya pendidikan untuk anda jadi seperti sekarang?
Siapa yang bertungkus-lumus saat anda perlu sesuatu?
Siapa tempat anda mengadu sewaktu masalah datang bertalu-talu?
Tidakkah setiap saat gembira dalam hidup anda dikongsi bersama keluarga, jadi mengapa saat anda mengenal dunia, keluarga duduk ditempat kedua?
Orang cerdik tidak akan menganggap persoalan saya sebagai mengungkit.
Malah ini adalah bahan muhasabah untuk kita bijak meletak siapa yang lebih utama.
Usah persia ilmu fiqh aulawiyat (keutamaan) dalam apa jua suasana menjelma.

Oramg yang dibuai cinta melihat perkahwinan bagai kanak-kanak melihat akaurium.

 Dari luar orang melihat indahnya akuarium, ikan-ikan berenang riang, rumpai melambai-lambai, beraneka karang hiasan.
Itu orang yang belum cukup ilmu melihat akuarium.

Bagi orang yang berfikir lebih panjang dengan sedikit ilmu sains. Akuarium adalah satu ekosistem. Harus ada kitaran makanan untuk menjamin kemandirian kehidupan.
Rumpai yang dilihat indah itu tidak membantu kalau ia palsu, kerana tidak akan membebaskan oksigen yang diperlukan ikan. Orang cerdik tidak akan sekadar melihat, bahkan akan ada persoalan, bagaimana nasib sang ikan andai ditinggal tuan?
Bagaimana nanti ekosistem akuarium itu terus bertahan jika tiada penyelenggaraan?
Orang bijak tidak sekadar menjawab,.”biarlah nasib ikan ditentukan Tuhan” jika dia tahu risiko yang bakal memusnahkan ikan.

Begitu juga perkahwinan yang dilihat indah hanya dengan berpegangan tangan, punya anak-anak comel berlarian ditaman, tinggal sebumbung tanpa ada larangan.

Perkahwinan itu perlu ilmu dan kematangan,
Bagaimana harus bergaul dengan saudara-mara tanpa sengketa?
Bagaimana merancang kewangan agar tidak perlu berhutang?
Bagaimana mengurus keluarga saat ditimpa musibah tidak terduga?
Bagaimana mencari ubat andai anak tidak sihat?
Bagaimana  berlindung di kediaman yang aman?
Bagaimana mempunyai kenderaan tanpa bergantung pada orang?
Bagaimana mengurus emosi dalam pelbagai situasi?
Bagaimana…bagaimana…..bagaimana…?
Benar, orang yang sudah berkahwin pun belum punya segala ilmu ini, dan ia terbina dari pengalaman.
Tetapi ketahuilah, sebelum membuat keputusan untuk mempunyai lebih tanggungjawab, soallah diri, sudah terlunaskah tanggungjawab yang ada sekarang?
Jika diri yang sedang syok sendiri menjawab, pasti sudah,
Soallah pula pada yang dipertanggungjawabkan, sudah selesaikah tanggungjawab anda pada mereka?
Jika anda seorang lelaki, masa belum tiba jika jawapan ibubapa dengan airmata.
Bagi Sang hawa, sabarlah dulu jika dalam hati hanya ada niat untuk sekadar menerima.

Rumahtangga adalah ruang sarat tanggungjawab, usah mencuba jika anda tidak bersedia!


Tuesday 25 September 2012

Diriku tidak sempurna

Merasa diri tidak sempurna menjadi halangan kepada banyak perkara. Kita jadi malu untuk mengeluarkan idea, segan untuk berkata, teragak-agak untuk bertindak lalu diri semakin hilang motivasi, hidup terasa hambar dan keyakinan menempuh cabaran kian luntur. Itulah yang saya rasa sehingga kini.

Saya suka menulis, tentang apa sahaja yang saya rasa, namun dek merasa diri tidak sempurna apa yang saya suka tidak terlaksana. Saya rasa diri isteri yang tidak sempurna kerana banyak kerja rumah tidak diberes, maka saya malu pada suami untuk mengadap komputer menulis blog. Saya rasa pekerja yang tidak sempurna, kerana tugasan disekolah masih banyak tergendala, saya malu pada rakan sekerja, nanti dikata masa  dihabis menulis blog, sampai tiada masa menyudahkan kerja. Minat saya terus tergendala juga sedang kerja tidak pernah sudah. Oleh sebab tugasan menanda tidak pernah jumpa noktah, saya malu pada pelajar, mungkin disangka saya berfoya-foya dilaman internet, buku mereka saya lupa. Saya juga malu pada keluarga andai komitmen saya pada mereka tidak sempurna, sedang saya punya masa menulis...menulis.

Mungkin masih ada dalam kalangan teman saya dikampus dulu yang sedar akan minat saya yang satu ini, menulis, malah saya pernah ada blog dilaman frienster yang menjadi kegilaan suatu ketika dulu. Namun teman, saya hilang diri saya yang itu bila menjejak kaki ke alam kerjaya, semuanya kerana saya rasa tidak sempurna, takut orang kata, dan bersangka-sangka. Banyak perkara berlegar dalam fikiran, namun lebur dalam diri sendiri. Akhirnya,saya semakin hilang motivasi.

Hati saya seakan dipalu-palu untuk terus menulis, namun paluan itu tidak mampu menembus apa yang saya rasa, tidak sempurna. Sehinggalah hari ini, secebis kata-kata yang saya dengar dalam radio ketika memandu ke sekolah pagi tadi. Lebih kurang begini..."jika anda berasa malas untuk membuat sesuatu perkara, cubalah ingat apa yang anda suka. Contohnya, jika anda malas ke tempat kerja, ingatlah rakan-rakan yang anda suka, pakaian yang anda gemar, ia mungkin boleh menceriakan hidup, tapi ia perlukan latihan"

Ya, ia menguatkan semangat, kita perlu buat apa yang kita suka, agar pagi kita lebih ceria, malam kita lebih bermakna kerana sebagai manusia kita tidak akan pernah sempurna.




Kenapa menulis?

Menulis adalah terapi, menganalisa diri sendiri dengan kata yang terbit dari hati, agar motivasi tidak berhenti. Banyak manfaat yang saya peroleh sebagai hamba, anak, ibu, isteri, adik, kakak, guru, pekerja.... sebanyak itu peranan harus saya mainkan. Benar, walaupun tugasan yang terlaksana tidaklah seberapa, saya mencari-cari penasihat terbaik agar hari yang dilalui terasa sentiasa segar, maka saya temui. pendorong utama adalah diri sendiri, maka muhasabah, analisis, audit diri perlu selalu agar prestasi diri dapat terus dipacu.